Posted by: Shamsul munir safini on: January 13, 2008
Malam jahanam di Kuala Lumpur
Kehidupan 24 jam di Kuala Lumpur yang yang sentiasa sibuk tidak kira malam atau siang, menjadikan Bandaraya Kuala Lumpur sentiasa dikunjungi.
Kedatangan orang ramai akan menjadi berlipat ganda jika berlakunya sambutan atau perayaan di Kuala Lumpur.
Fenomena ini adalah petanda yang baik kepada negara.
Dari segi ekonomi, ianya sesuatu yang positif.
Justeru, tidak hairanlah jika kita lihat kedai atau warung 24 jam yang dibuka bagi menampung permintaan orang ramai ketika di malam hari.
Namun apa yang pasti, kebaikan dari segi ekonomi tidak semestinya mendatangkan kesan positif kepada sosial masyarakat di negara ini, khususnya para remaja.
Dari segenap sudut kita dapat lihat berbagai ragam manusia di sekitar ibu kota, bermula dari awal pagi sehinggalah keesokan harinya.
Kehidupan pada waktu malam sudah menjadi rutin harian bagi warga kota. Remaja yang mahu melepasakan tekanan bekerja di siang hari menjadikan malam sebagai waktu untuk meluangkan masa bersama rakan-rakan.
Keadaan malam yang sejuk mula dipanaskan dengan aktiviti-aktiviti yang tidak berfaedah dan melalaikan.
Tidak menjadi kesalahan bertemu rakan-rakan di malam hari, tetapi, ia menjadi jelik apabila ada segelintir mereka ini bertindak melebihi norma seorang manusia apabila tibanya waktu malam.
Waktu yang sepatutnya digunakan sebagai waktu beristirehat dijadikan waktu berpeleseran serta membuang masa.
Ketika melalui jalan-jalan utama di ibu kota pada waktu malam, suasana tidak ubah seperti di siang hari.
Lampu-lampu jalan yang terang memudahkan sesiapa sahaja untuk bergerak.
Jadi tidak mustahil, jika ada saja kereta yang melalui jalan-jalan utama ini.
Bukan sahaja mereka yang memandu kereta, bahkan mereka yang menunggang motosikal jauh lebih ramai dari mereka yang memandu.
Kawasan hiburan sentiasa hidup ketika malam menjelma, kelab-kelab malam sentiasa dipenuhi manusia yang dahagakan hiburan.
Suasana hingar bingar dek kerana muzik dari kelab tersebut membuatkan suasana menjadi rancak di luar mahupun di dalam kelab.
Jika tidak masuk cukuplah jika sekadar berada di pintu utama. Suasananya hampir sama,
Berpelukan, berciuman dan aksi-aksi ghairah yang lain dipertontonkan kepada khalayak ramai.
Sukar untuk memastikan agama atau keturunan mereka ini, semuanya nampak sama, kita yang melihat merasakan kita tidak berada di negara sendiri,sebaliknya di negara barat, hebat bukan?
Jika keadaan ini kita lihat di tengah-tengah bandaraya, senario lain pula muncul di kawasan yang agak suram dan hanya dikunjungi warga kota yang tahu akan kewujudannya.
Kita langsung tidak akan menyangka, keadaan yang dikelilingi sampah serta suasana yang gelap ini kegiatan pelacuran sedang berlaku.
Bukan itu sahaja, kegiatan mak nyah serta ‘money boy’ menjadikan kawasan sebegini jijik seperti sekitarnya, apatah lagi mereka yang terlibat.
Suasana sebegini dapat kita lihat sebelum tibanya waktu siang, melainkan mereka yang melakukan ‘overtime’, mungkin suasana ini dapat kita lihat pada waktu siang.
Mungkin mereka ini kurang berkemapuan dan kurang dari segi pendidikan, tetapi bagaimana pula mereka yang berkempampuan dan berpendidikan?
Kami cuba beralih kepada kehidupan warga kota yang dikategorikan dalam kategori ini.
Mereka masih mempunyai kehidupan yang sama, tetapi berlainan tempat.
Mereka tidak melakukannya di tempat umum sebegini tetapi hotel-hotel mewah di sekitar ibu kota dijadikan tempat melepaskan rindu dan kasih sayang.
Setelah penat berdansa di kelab-kelab malam, pasangan remaja yang letih dan mabuk ini akan berehat dan tidur bersama di hotel-hotel atau rumah salah seorang mereka.
Mereka yang belum berkahwin ini tidur bersama walaupun perkenalan hanya berlaku ketika di dalam kelab.
Hari ini mereka tidur bersama, keesokkannya mereka hidup seperti biasa dan tidak mengenali siapa yang telah mereka tiduri.
Di hari atau minggu berikutnya bersama orang lain pula, maruah diri dan keluarga sudah tidak difikirkan apabila ingin hidup bebas sebebasnya.
Apabila pagi semakin menjelma, ada remaja yang cuba memenuhi aktiviti malam mereka dengan cara mereka sendiri.
Bagi yang bermotor dan berhati kering, jalan yang agak lengang di sesetengah kawasan dijadikan medan menguji keberanian.
Berlumba, memandu secara bahaya menjadi pengisian utama dalam aktiviti mereka ini.
Apabila di tahan polis, aktiviti ini terhenti seketika, keesokannya aksi yang lebih berbahaya dilakukan.
Boleh dikatakan setiap hari, muncul sahaja aktiviti baru dalam pengisian malam remaja-remaja ini.
Sehinggakan tidur awal pada waktu malam sudah tidak relevan lagi bagi mereka.
Sepanjang permerhatian kami dari satu tempat ke satu tempat di ibu negara, keadaan malam harinya tetap sama, ada saja manusia di sana sini.
Kuala Lumpur sedang mengorak langkah ke hadapan, namun masih ada segelintir dari kita mundur ke belakang kerana terlalu inginkan keseronokan sementara.
Mungkin kerana arus permodenan ini, tingkat pemikiran manusia menjadi terlalu kehadapan sehingga melupakan batas-batas yang sepatutnya.
Ingatlah bahawa dunia ini kejam, gunakan masa yang ada untuk fikir sejenak tentang masa depan negara yang kita cintai.
Recent Comments